Tealive’s 506th stores and its first store at a government ministry (KPDNHEP)

Updated: Feb 21

PUTRAJAYA, 17 MAC 2020 – Cawangan ke-506 produk minuman Tealive hari ini dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi dalam majlis yang ringkas tetapi memberi makna besar kepada Koperasi Warga KPDNHEP Berhad.


Outlet Tealive - Koop Warga KPDNHEP Berhad ini merupakan cawangan pertama di bangunan premis kerajaan di Putrajaya. Perniagaan yang dijalankan secara usahasama dengan Koperasi Warga KPDNHEP Berhad bertepatan dengan usaha Kementerian ini untuk mempromosikan lebih banyak syarikat francais tempatan.


Tealive yang diasaskan di bawah Syarikat Loob Holding Sdn. Bhd. telah berkembang dengan pesatnya. Sehingga 15 Mac 2020, sejumlah 505 cawangan Tealive yang telah dibuka di seluruh negara. Jenama ini telah dikembangkan ke luar negara iaitu di pasaran Singapura, Brunei, Thailand, Vietnam, China dan Australia.


KPDNHEP merupakan pengawal selia bagi industri francais di Malaysia. Industri francais merupakan sebuah industri berskala besar yang memberikan sumbangan yang signifikan terhadap keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan ekonomi negara. Sehingga 29 Februari 2020, sejumlah 915 buah syarikat francais telah berdaftar dengan KPDNHEP dan industri ini telah mencatatkan nilai jualan tahunan berjumlah RM11.2 bilion bagi tahun 2019.


Industri francais di Malaysia terdiri daripada pelbagai sektor iaitu makanan dan minuman, pendidikan awal dan pembelajaran, penjagaan diri, kesihatan dan kecantikan, pakaian dan aksesori, isi rumah, perkhidmatan serta pelbagai lagi. Sektor yang paling dominan adalah sektor makanan dan minuman (F&B). Ini kerana sektor ini merangkumi lebih satu pertiga daripada keseluruhan industri francais negara.


Hadir sama, Timbalan Menteri KPDNHEP, Dato’ Haji Rosol Wahid, Ketua Setiausaha, Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Loop Holdings Sdn. Bhd, Byran Loo dan Timbalan Ketua Setiausaha ( Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri) Dr. Alauddin Sidal.

Pada majlis ini, Datuk Alexander mengumumkan potongan sebanyak 15 peratus kepada warga KPDNHEP serta pemberian percuma vitamin C dalam setiap minuman dalam usaha mengekang penyakit Covid-19.


Source: KPDNHEP