top of page

Tealive rangkul dua anugerah pada AHBA 2019

Updated: Dec 9, 2021

KUALA LUMPUR: Loob Holding Sdn Bhd (Loob Holding), pengeluar jenama minuman teh, Tealive, dinobatkan sebagai penerima Asia Halal Brand Awards (AHBA) 2019 bagi kategori Jenama Teh Gaya Hidup Terbaik dan Majikan Cemerlang.


Anugerah itu disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, kepada Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding, Bryan Loo, dan Pengerusi Jawatankuasa Halal Tealive, Khairul Anuar Baharudin, pada satu majlis, di sini, malam ini.


Bryan ketika ditemui berkata, anugerah berkenaan penting kerana AHBA disokong sepenuhnya oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), agensi yang diamanahkan untuk membangunkan Malaysia sebagai sebuah hab halal.


“Ini adalah satu pencapaian luar biasa bagi Tealive dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua warga Loob Holding atas segala usaha yang mereka lakukan untuk memastikan jenama ini patuh kepada proses pensijilan halal supaya semua orang dapat menikmati Tealive tanpa was-was.


“Kedua-dua penghargaan berprestij ini membuktikan sekali lagi bahawa jenama Tealive mematuhi dan mengikut segala proses pensijilan halal ditetapkan oleh JAKIM,” katanya.

Sementara itu, Khairul Anuar berkata, Tealive sentiasa komited dan memastikan semua warganya yang terbabit dalam rantaian bekalan, patuh kepada syarat halal ditetapkan pihak berkuasa.


“Tealive mengikut garis panduan halal ditetapkan JAKIM dari aspek sumber, penyediaan, pengendalian dan simpanan bahan mentah dan proses serta jawatankuasa halal dalaman, di samping mendapatkan nasihat daripada JAKIM dari semasa ke semasa.


“Kami memilih pembekal dan sumber bahan mentah selari dengan kehendak pensyaratan halal. Kami hanya bekerjasama dengan pembekal makanan yang memiliki sijil halal sah dan memiliki tandatangan kebersihan serta kualiti ketat, di samping memenuhi amalan terbaik global,” katanya.


Source: Berita Harian


bottom of page